1. Berbakti kepada ibubapa adalah wajib dan patut
dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan pada hari-hari tertentu sahaja.
Walau bagaimanapun, masyarakat moden hari ini menyambut hari-hari
tertentu untuk memberikan penghormatan atas jasa-jasa individu atau
kelompok tertentu. Maka lahirlah beberapa hari Hari Ibu, Hari Bapa, Hari
Guru, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan lain-lain. Hari Ibu disambut di
sesetengah negara pada 21 Mac setiap tahun dan di sesetengah negara lain
seperti Malaysia pada 10 Mei setiap tahun. Sambutan ini sentiasa
mengundang perbahasan umat Islam tentang hukum menyambutnya.
2. Ulama’ berselisih pendapat dalam perkara ini dan secara umumnya mereka terbahagi kepada 2 kelompok iaitu:
(1.) Kelompok yang mengharamkan. Diantaranya ialah Al-marhum Sheikh
Abdul Aziz bin Baz yang secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang
sambutan ini. Asasnya ialah kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah
dalam agama dan mengikut kepada Barat (gharbiyyun).
(2. )Kelompok yang mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan
ini juga adalah perkara yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah
dalam ibadat tetapi hanyalah bid’ah dalam adat kebiasaan .
3. Pandangan kelompok pertama adalah cukup mudah untuk difahami dan saya tidak berhasrat memanjangkan di sini.
4. Pandangan kelompok kedua boleh diperhatikan pada pendapat-pendapat
beberapa ulama’ kontemporari. Sheikh Faisal Mawlawi, Timbalan Pengerusi
Majlis Fatwa dan Pengkajian Hukum Eropah (Majlis ini dipengerusikan
oleh Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi) yang juga seorang
pemimpin gerakan Islam di Lubnan (seangkatan dengan Sheikh Dr Fathi
Yakan) berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu tetapi
dengan dua syarat:
1. Sambutan itu hanyalah penghormatan tambahan yang dilakukan
lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya
untuk ibu.
2. Sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam mafhum
Syarak iaitu menyamai Eid al-Adha dan Eid al-Fitri yang ada asasnya yang
jelas dalam nusus Syariah.
5. Dr Muhammad Bakar Ismail, Professor Tafsir dan Ilmu-ilmu al-Quran
di Universiti Al-Azhar al-Syarif memberikan pandangan seperti berikut:
“Hari ini dimana ibu dimuliakan dan dinamakan dengan Hari Ibu adalah
daripada bid’ah-bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat. Bid’ah dalam
adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia
menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini
lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan dan menyeru kepada
berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan dan
ihsan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan
memperakui adat sebegini. Manakala jika adat ini lahir daripada perkara
yang sebaliknya, dan melakukannya juga melibatkan perkara-perkara yang
buruk dan dilarang oleh Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian
dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.”
6. Dr ‘Abdul Fattah Asyur, seorang lagi ulama’ al-Azhar memberikan pendapat seperti berikut:
Bahawa merayakan beberapa hari yang padanya dimuliakan manusia atau
menghidupkan ingatan-ingatan yang baik, maka tidak seorang pun
mengatakan bahawa program ini adalah perayaan agama atau sebahagian
daripada perayaan-perayaan Muslimin. Tetapi ia adalah peluang untuk
menunjukkan syiar perasaan yang baik terhadap orang-orang yang berbudi
kepada kita dan diantaranya ialah apa yang dikenali sebagai Hari Ibu.
Sesungguhnya bagi ibu kedudukan yang khusus dalam Islam dan juga dalam
setiap agama lain. Maka ibu wajib dimuliakan dan dirayakan.
7. Sheikh Hamid al-Athar, ahli Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia (yang
dipengerusikan oleh Sheikh al-Qaradawi) memberikan pendapat seperti
berikut:
Perayaan Hari Ibu pada suatu pada suatu hari yang dikhususkan (iaitu
21 Mac) pada pendapatku adalah makruh dan tidak jauh hukumnya dengan
haram, bukan disebabkan bid’ah tetapi kerana mengikut orang-orang bukan
Islam pada adat kebiasaan dan perayaan-perayaan mereka. Telah datang
beberapa hadith Rasulullah SAW yang melarang umatnya daripada menyerupai
Ahli Kitab antara lainnya ialah yang didatangkan daripada Ibnu Umar RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu
kaum, maka dia dari kalangan mereka.”
8. Dr Muhammad al-Banna berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu dengan syarat:
1. Tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang diharamkan oleh Syariah seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan.
2. Tidak dimaksudkan untuk menyerupai orang-orang Barat dan bukan Islam.
3. Hendaklah kandungan perayaan itu diteruskan sepanjang tahun iaitu tidak terbatas kepada hari tersebut sahaja.(Sumber: UBM)
- KENYATAAN JABATAN MUFTI SELANGOR -
SAMBUTAN YANG DI ANJURKAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
1. Sambutan yang dilakukan
sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang
Muslim terhadap Allah s.w.t. dan tidak bersifat membazir.
2. Sambutan yang baik adalah
dengancaramengasihi sesama sanak saudara melalui amalan
ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur
jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa sebarang
musibah.
123. Sebaik-baik sambutan adalah dengan
mengadakan sembahyang berjamaah bersama ahli keluarga, majlis tahlil dan
doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana yang
mahabbah.
4. Setiap ibu bapa perlu merenung
kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab yang
terpikul di bahu mereka. Adakah kita telah memainkan peranan sebagai
pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran
untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat.
5. Setiap ibu bapa perlu menyayangi dan
melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah
dan kelalaian dunia. Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik di dalam
keluarga dan disegani, dihormati serta disayangi oleh ahli keluarga.
6. Setiap ibu bapa perlu mewujudkan
persekitaran yang baik dan selesa agar ahli keluarga merasa selamat,
dihargai dan dihormati dalam usaha melahirkan insan syumul.
7. Setiap ibu bapa perlu prihatin dan
memainkan peranan bersama untuk membabitkan diri dalam membanteras
gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, melalui
program amar makruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada
terjebak.
8. Setiap ibu bapa perlu memperingatkan
dirinya perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai
etika dan spiritual yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga mereka.
9. Setiap ibu bapa mestilah mengambil
langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran
keibubapaan (parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk
lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.
10. Didikan agama yang sempurna adalah
satu faktor perlindungan (protective factor) yang mampu menyelamatkan
manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan
dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi
berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja
seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri,
keluarga, masyarakat dan negaranya.
PENUTUP.
Harus diingat, mengamal dan mengikut
budaya asing, terutamanya dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa
mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan
menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran
kerana perkara seperti ini bukan sahaja
menjejaskan akhlak bahkan keimanan dan akidah, serta menjatuhkan maruah
agama Islam itu sendiri. Umat Islam diseru agar tidak sesekali meniru
budaya asing yang ternyata bercanggah apatah lagi ia turut menjerumuskan
mereka ke lembah kemaksiatan. Adalah diharapkan semoga dengan adanya
garis panduan
seperti ini akan dapat membantu umat
Islam bagaimana untuk meraikan sambutanHariBapa, Ibu, Kekasih dan yang
seumpamanya menurut perspektif Islam yang sebenar.
Disediakan oleh:
Jabatan Mufti Negeri Selangor.
(www.muftiselangor.gov.my)
Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment